Thursday, 24 November 2011

Tukar simpan duit dengan simpan emas

"Tiga tahun lepas, ana beli 1 dinar harga RM380. Sekarang ni harga dia lebih kurang RM600!" - Saifudin

Saya terus ambik calculator handphone dan kira return on investment (ROI). Sahabat saya tu, dia beli beberapa keping dinar untuk maskahwin tiga tahun lepas. Saya congak-congak, ROInya 18% setahun! Wah... ini lagi bagus dari Tabung Haji, ASB, dan juga unit trust!

Oh, apa yang sahabat saya bagi tahu sementara tunggu buka puasa di Su Tom Yam, Kota Bharu membuatkan rasa ingin tahu pasal pelaburan emas semakin membuak-buak.

Dinar Emas atau Tabung Haji?

Sejak Kelantan lancarkan Dinar Kelantan beberapa tahun dulu, selalu terfikir samada nak biarkan saving dalam Tabung Haji atau nak beli dinar emas?

Saya memang yakin melabur dengan cara beli dinar emas lebih berbaloi berbanding simpan di Tabung Haji. Dividen Tabung Haji cuma sekitar 5% setahun, tapi dinar emas, nah tengoklah perbezaan dia. Dan satu lagi, kalau simpan dinar emas, risiko inflasinya ialah 0%! Kita tak perlu takut dengan inflasi yang agak merisaukan setahun dua kebelakangan ni.

Inflasi: Antara Dinar dan Duit Kertas

Ikut pada pembacaan saya, zaman Nabi dulu, seekor kambing nilainya 1 dinar emas, tapi sekarang, nilai seekor kambing masih tetap 1 dinar emas! Wah... dinar emas tak terjejas dengan inflasi sejak 1,400 tahun lalu!

Tapi kalau duit ringgit, nilai inflasi sebenar lebih kurang 10% setahun. Bayangkan tahun 80-an dulu, duit belanja budak sekolah cuma RM0.50 - RM1.00 sehari. Tapi sekarang, RM2.00 - RM3.00 baru cukup untuk beli makanan waktu rehat! Inflasinya lebih kurang 200% dalam masa 20 tahun!

Simpan Duit Dalam Bentuk Emas Fizikal

Balik KL lepas raya, saya teruskan 'kajian' saya pasal dinar dan pelaburan emas. Saya rujuk blog Husam Musa dan juga beberapa website lain yang saya rasa boleh pakai. Justifikasi YB Husam dan Kerajaan Kelantan tentang kenapa perlunya dinar emas sangat masuk akal.

Dinar (emas) tahan inflasi. Tak perlu takut pada kegawatan ekonomi. Ia tetap laku di mana sahaja seluruh dunia pada bila-bila masa kalau berlaku peperangan. Dan emas, adalah aset yang sangat mudah dicairkan, sama seperti duit juga. Pendek kata, nilai kekayaan kita tak akan tergugat kalau kita simpannya dalam bentuk dinar, atau dengan kata lain simpankannya dalam bentuk emas fizikal!

Oh, saya dah buat azam, nak tukarkan sebahagian besar simpanan 'kecemasan' kami ke dalam bentuk dinar emas.

Masalah Nak Dapatkan, dan Tempat Simpan

Tapi masalahnya ialah;
  1. Kat mana nak beli dinar di KL ni? Takkan nak beli di Kelantan, lepas tu bawa balik ke KL? Nanti kena rompak tengah jalan... huh... risiko tu...
  2. Macam mana cara nak beli dinar? Katanya, stok Dinar Kelantan selalu habis macam pisang panas? Kalau nak beli, kena telefon dulu. Uh... susah tu.. takkan nak pesan orang lain tolong belikan.
  3. Kat mana nak simpan? Kalau simpan kat rumah, wah... risikonya tinggi. Nanti jadi sasaran perompak pulak. Kalau tak pun, takut terlupa letak kat mana-mana. Aduh...
Duit Kertas Tiada Nilai Sebenar

Hati saya makin tak senang. Takut duit simpanan dimakan inflasi. Dividen Tabung Haji cuma 5%, tapi kadar inflasi 10% setahun. Makin tahun, makin menyusut nilai simpanan saya. Makin rendah kuasa belinya. Dan bila fikir jauh lagi, kalau berlaku peperangan, duit kertas dah tak bernilai satu sen pun macam kes mentua YB Husam Musa di blog beliau di sini.

"Saya teringat Gemulah ayah mertua saya, dia pernah menceritakan kepada saya yang ketika Jepun mendarat di Sabak, dia berumur 14 tahun. Dia sudah tidak bersekolah, kerana dia tak naik-naik kelas, terpaksa mengulangi kelas satu untuk 3 tahun berturut-turut. Dia meminta modal dari emaknya untuk memulakan perniagaan, emaknya telah memberi dia sekeping emas pound duit Amerika yang sudah diikat menjadi kancing baju. Dia jual kancing baju itu dan memulakan perniagaan menggunakan perahu di sungai Kelantan. Dia mula-mulanya berniaga budu. Perniagaannya berkembang, di akhir pemerentahan Jepun dia sudah berniaga macam-macam termasuklah atap dan balak di sepanjang Sungai Kelantan. Di waktu pemerentahan Jepun ini, antara teman yang ditemui di Kota Bharu ialah Almarhum Raja Perlis, baginda ketika itu berniaga manisan (gula melaka) menggunakan basikal.

Apabila Jepun menyerah kalah, dia memiliki berguni-guni duit gambar pohon pisang yang dikeluarkan oleh pihak Jepun di sini. Duit itu sudah tidak laku lagi. Hanya layak dibuang di umbi pisang. Dia jatuh miskin sekali lagi.

Ayah mertua saya sempat mengalami dua kali kejatuhan pemerentahan, pemerentah British dan Jepun. Walaupun kuasa barat kalah di Semenajung, tetapi duit pound Amerika tetap laku, kerana ianya emas. Kali kedua duit Jepun tidak laku langsung selepas kejatuhan Jepun; kerana ianya kertas." - YB Husam

No comments:

Post a Comment